Halaman

Rabu, 23 September 2009

Puasa Enam & Beberapa Persoalan Mengenainya

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الأمين، وعلى آله وصحبه أجمعين.

Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, ‘Asyura’ dan enam hari dalam bulan Syawal).

Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam bersabda, Allah subhanahu wata’aala berfirman (dalam hadis Qudsi):
(( كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ… وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ )) رواه مسلم.
Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Sahih Muslim no: 1151]
Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.
Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
(( مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Sahih Al-Bukhari no: 2840]

Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Bersempena dengan bulan Syawal ini, artikel ini akan membincangkan tentang puasa sunat ini.

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.

Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
(( مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ)) رواه مسلم.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].

Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.

Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.
Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal.

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Kerana itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadhan, sedangakan pada bulan lain Allah swt dilupai”.

Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.

Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).
Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.” [Syarah Sahih Muslim 8/56]

Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata:
( أَنَّ رَسُولَ اللهِ r نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ ) رواه مسلم.
Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari no: 1991].

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.

Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama’ ialah:

1- Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.

Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah swt:
] وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ [ [آل عمران: 133]
Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Aali Imran:133]

2- Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.

Wujud perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Ada dua pendapat ulama’ dalam masalah ini.

Pendapat Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu ‘anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah ra berkata:
( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلا فِي شَعْبَانَ. قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ r) رواه البخاري
Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah saw. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan "kerana sibuk melayani Rasulullah saw" ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.]

Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.

Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”

Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.
Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.

Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (‘ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim 8/22].
قال النووي في شرح مسلم: “وَمَذْهَب مَالِك وَأَبِي حَنِيفَة وَالشَّافِعِيّ وَأَحْمَد وَجَمَاهِير السَّلَف وَالْخَلَف: أَنَّ قَضَاء رَمَضَان فِي حَقّ مَنْ أَفْطَرَ بِعُذْرٍ كَحَيْضٍ وَسَفَرٍ يَجِب عَلَى التَّرَاخِي، وَلا يُشْتَرَط الْمُبَادَرَةُ بِهِ فِي أَوَّل الإِمْكَان.”
Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut].

3- Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam.

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?

Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.

Ada dikalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat: Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma'rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]

Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qadha atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatinya). Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut]

Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid). Wallahu a’lam.

Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama’ mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.

Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw.
Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah saw. Sepatutnyalah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal.

Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.
Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Sebagaimana sabda Nabi saw:
(( إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]

Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah swt ke jalan yang di redhai-Nya serta dapat melaksanakan ibadah puasa enam hari di bulan Syawal ini dengan sempurna. Seterusnya kita dimasukkan ke dalam golongan orang yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Aamin.
وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم تسليما إلى يوم الدين.

Sabtu, 19 September 2009

Salam Lebaran 2009

Eidul Kariim..Eidun Mubarak..!! SubhanAllah..Takbir hari raya mula bergema setelah diisytiharkan tarikh hari raya AidilFitri jatuh pada hari ahad 19 09 2009.
Sungguh tak sangka..pejam celik-pejam celik dah abis bulan puasa.Terasa baru je semalam bersahur dan berterawih.Tapi hari ini bulan yang penuh keberkatan telah pun berlalu.Alangkah terasa kurangnya amalan kebaikan yang telah dilaksanakan..alangkah terasa jahilnya diri ini bila ramadan yang penuh keberkatan tidak diisi sebaik mungkin..Ya Allah sekiranya engkau mentakdirkan ajal ku belum tiba pada tahun hadapan..maka berilah peluang untukku bertemu lagi bulan yang berkat ini..sekiranya ini adalah ramadan yang terakhir buat ku ..maka aku pohon terimalah seadanya amalan yang terbaik setakat kemampuan ku ini..Amiin.
Pada kesempatan ini,saya selaku hamba Allah yang tidak pernah lekang dengan dosa-dosa,menyusun sepuluh jari,dari hujung rambut hingga hujung kaki,external dan internal...ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin buat :
Abah & Ma
Adik-Adik
(Iza,Anah,Cek Dah,Li,Mijah,Ina,amirah)
Pak -Pak Sedara & Mok-mok sedara
Sepupu-sepupu & waris
Atuk dan nenek yang telah kembali ke Rahmatullah
Member-member kat UPM & x-UPM
Pensyarah-pensyarah Fak.Pend.UPM
Pensyarah-pensyarah Fak.Pertanian UPM
Ahli-ahli PMIUPM
Guru-guru di SMAP Kajang
Member-member & Adik-adik SMAP Kajang
Alumni SMAPK
IKRAM
Guru-guru di SMK Hamzah Machang Kelantan
Member-member SMK Hamzah
Guru-Guru di SK KG.Pek (SKKP)
Member-member SKKP
Guru-Guru Tadika
Tuan Guru Ust .Haron Din Al Hafiz
Member-member seperguruan di Darusyyifa,Bangi
Para-para ustaz n ustazah
Trainer-trainer Teambinainsan
(Ustaz Asri & Family)
(Alang & Family)
(Zali & Family)
(Abe Miji & Family)
(Arni,aini,anuar & semua fasi-fasi)
Semua Guru-guru & Staf SMK KOK LANAS
Pelajar-pelajar SMK Kok Lanas
Semua penghantar SMS raya
Semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
Di harap anda semua bergembira di hari raya..dan jangan lupa untuk "One Minute For Yourself"..kerana betapa erti syukur perlu diterapkan dari semasa ke semasa di saat kita bergembira orang lain sedang berduka.
Ingatlah Allah di waktu kita senang,Allah akan ingat kita diwaktu susah.
Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin.









Isnin, 14 September 2009

Sabtu, 12 September 2009

INFO ILMIAH..ANDA PASTI TERUJA..!!

1) Jika anda membaca Al-Quran empat mukasurat sahaja (dua helai) setiap kali selepas sembahyang fardhu anda dapat menamatkan 30 juz dalam masa sebulan.

2) Jika anda membaca Sahih Bukhari 11 mukasurat sahaja pada waktu pagi dan 11 mukasurat sebelum tidur, anda dapat menamatkan bacaan keseluruhan Sahih Bukhari dalam masa 2 bulan sahaja. (Cetakan Dar Al-Salam: 1300 halaman)

3) Jika anda membaca Mukhtasar Sahih Muslim 11 mukasurat sahaja pada waktu pagi, dan 11 mukasurat sebelum tidur, anda dapat menamatkannya dalam masa sebulan sahaja. (CetakanDar Al-Fikr: 670 halaman).

4) Jika anda membaca 45 hadis sahaja setiap kali selepas sembahyang fardhu, anda dapat menamatkan bacaan Bulugul Maram dalam masa seminggu.

5) Jika anda membaca 16 hadis sahaja setiap kali selepas sembahyang fardhu, anda dapat menamatkan bacaan Musnad Ahmad dalam masa setahun sahaja. (50 jilid)

6) Jika anda membaca kitab Syamail Al-Nabi S.A.W oleh Imam Tirmzi, sebanyak 27 mukasurat sehari, anda dapat menamatkannya dalam masa seminggu.

7) Jika anda membaca kitab Al-Adab Al-Mufrad oleh Imam Bukhari, sebanyak 15 hadis sehari, anda dapat menamatkannya dalam masa 3 bulan. Dan jika anda membacanya sebanyak 45 hadis sehari anda dapat menamatkannya dalam masa sebulan sahaja.

8) Jika anda membaca kitab Ahkam Al-Quran oleh Imam Syafie sebanyak 37 mukasurat setiap hari, anda dapat menamatkannya dalam masa 2 minggu.

9) Jika anda menghafal satu rangkap syair sahaja setiap hari daripada kitab Alfiyah Ibn Malik, anda dapat menghafal keseluruhan 1000 rangkap syair Alfiyah dalam masa tidak sampai 3 tahun.

10) Jika anda menghafal dua hadis sehari, anda dapat menamatkan hafalan keseluruhan hadis-hadis Umdatul Ahkam dalam masa 8 bulan.

11) Jika anda membaca dan menghafal satu persoalan feqah sehari, berserta dengan khilaf dan dalilnya, maka dalam tempoh 3 tahun anda sudah menguasai lebih 1000 masalah feqah.

12) Jika anda menghafal 2 rangkap syair sahaja sehari, anda dapat menghafal keseluruhan syair matan Al-Baiquniyyah (Mustalah Hadis) dalam masa tidak sampai 3 minggu.

13) Jika anda menghafal 2 hadis sahaja setiap hari secara konsisten bermula hari ini, percayalah 30 tahun akan datang anda boleh berbangga di hadapan cucu-cucu anda dengan berkata, “Atuk sudah menghafal lebih 20,000 hadis”.

Khamis, 10 September 2009

Alahai..Malunya Tak Puasa

Assalamualaikum..salam ramadan..!!

Amacam dengan puasa anda...ada peningkatan...ada pertambahan keimanan & ketaqwaan..atau masih di takuk lama..??

Apa kata ambik masa "one minute for yourself" untuk check level puasa kita sekarang berada di tahap mana.So,renung-renungkan.

Sebelum saya meneruskan berkenaan tajuk "Alahai ...Malunya tak puasa" apa kata jom sama-sama menonton video kat bawah ni.


Amacam..ada bagus..!!

Sebenarnya saya nak bawa satu kisah benar lagi terbukti kesahihannya.Kisah ni berlaku pada 8 September 2009 jam 10 pagi bertempat di makmal MPV SMK Kok Lanas.Tempat saya mengajar sekarang.Boleh dikatakan pelajar yang mengambil subjek ni adalah tingkatan 4, ada yang ok..ada yang k.o gak.Ada yang jenis suka mengata member..ada jenis suka khayal..ada yang bila suruh tulih nota laju jer..tapi bila tanya balik ..apa terjadi.."Tak tau"..itulah jawapan yang agak glamer di kelas ni.

Pada masa tersebut,saya sedang mengajar tajuk ikan hiasan bertelur iaitu ikan barb.

Macam biasa ler..apabila sesi penerangan guru sedang berlangsung pelajar akan memberi respon berbagai.Sebaik sahaja beberapa slaid nota powerpoint ditayangkan..apa lagi keje saya menyoal lah balik apa yang telah diajar.

Tiba-tiba ...saya telah melontarkan satu soalan kepada salah seorang pelajar yang boleh dikatakan selalu buat lawak dalam kelas tersebut.

Saya : Soalan saya ialah "apo beza ike barb jate dengan ike barb tino" (soalan versi kelantan-bermaksud perbezaan ikan barb jantan dan betina).

Dalam keadaan mengelabah membelek nota..beliau menjawab dengan nada selamba..sambil mulut muncung macam Bik Omas dalam cerita Indon.

Pelajar : Ike barb jate..bade dio ramping [badan ramping]..warna menarik.

Saya : Kalu ike barb tino?

Pelajar: Ike barb tino..bade besar[ badan besar]..warna kurang menarik.

Saya : Ok..boleh terima.Bakpo [kenapa] awak kecek [cakap] mace [macam] ada benda jah dale [dalam] mulut.

Pelajar :Tak dok gapo cikgu.

Saya : Mu mari sini.

Pelajar tersebut datang ke depan dalam keadaan selamba tapi gabra.Saya menyuruhnya membuka mulut dan menjelir lidah.Maka berlakulah dialog ini..

Saya : Jelir lidah ..saya nak tengok.Bakpo warna biru nih..make [makan] coklat ko?

Pelajar : Dok[tidak] cikgu.Saya poso hari ni.

Saya : Abis tu ..bakpo lidah tu ada warna..ko make [makan] coklat?Mu poso ko dok ?!

Pelajar : Isyy..poso cikgu.

Saya : Takpo lah duduk semula.

Walaupun saya agak ragu dengan pengakuan tadi..saya buat rilek je lah.

Akan tetapi..satu adegan yang tak ingin didengar dan dilihat ialah...sebaik sahaja pelajar tadi duduk di kerusi..dengan tidak disangka-sangka...tiba-tiba terjatuh dua biji gula-gula dari poket seluar pelajar tadi.Abis satu kelas gelak besar melihat telatah membernya yang kantoi tak puasa.

Apa lagi..pucat ler kawan nih.

Saya : Ha tengok..tuhe [ tuhan] tunjuk terus balasan ore [orang] kecek belawok [menipu] bulan poso nih.

Pelajar : Isyy saya poso cikgu.

Saya : Hek eleh..jatuh coklat mu nak nipu lagi.Mu poso ko dok?Royak betul la.

Pelajar : Dok cikgu..pagi tadi tak sahur...!!

Disebabkan pengakuan tadi..apa lagi kena bebel lah.Banyak hensem muka..sape bagitau kalu tak bangun sahur tak perlu puasa. Alahai..Malunya Tak Puasa.Disebabkan nak elak bende ni berlaku kepada pelajar yang lain..saya terus talipon salah seorang ustaz untuk bagi kaunseling lah.Ingatkan sehari je tak puasa,rupanya dah tiga hari tak puasa.

Sebaik sahaja abis kaunseling..kebetulan masa mengajar ada lagi berbaki 15 minit..apa lagi saya pun pasang video kat atas tadi dan bawah ni..konon suruh bagi insaflah sikit.Nasib lah dah ler kantoi tak puasa..subuh pun tak semaye (solat).

Sebaik sahaja ..masa tamat..saya sekali memesan kepada pelajar tadi untuk berpuasa dan mengqada puasa selepas ni.Selepas kejadian tersebut..tiap kali masuk kelas..antara soalan popular " mu poso ko dok".

So..kepada anda semua ambil iktibar daripada kisah ni..kepada cikgu -cikgi..tolong check anak buah..puasa ko tidak..Kita sebagai muslim mesti selalu diberi peringatan.

Ok..selamat meraih rahmat..keampunan..dan kelepasan dari api neraka.Wallahua'lam

Final Match of Ramadan League : Second Half Prediction

Assalamualaikum wbt para penonton,

Tepat jam 12 malam 16 Ramadan 1430 H, bilal meniupkan wisel tanda bermulanya separuh masa kedua perlawanan akhir, Piala Juara-Juara Ramadan di antara Taqwa United dan Nafsu City. Pengkritik dan penganalisa bola sepak tanah air (ustaz-ustaz) telah banyak memberikan pandangan serta komentar yang pedas tentang persembahan longlai pasukan tempatan, Taqwa United dalam tempoh separuh masa pertama perlawanan di konti-konti Masjid berdekatan.

Untuk makluman saudara sekalian,

Taqwa United sedang ketinggalan 3-0 oleh seteru tradisi, Nafsu City. Dua gol daripada penyerang berbisa Nafsu City iaitu Emmanuel Amarah manakala satu lagi gol daripada Carlos Umpat meletakkan pasukan mereka sebelah tangan menggenggam piala teragung buat umat. Strategi 3-4-4 dengan 4 orang striker yang digunakan team Nafsu City sukar dikekang barisan pemain muda United. Barisan pertahanan team tempatan yang diketuai oleh Zikir Selawat dan pemain kelahiran Narathiwat, Wirid Harian lemas dalam asakan rangkaian serangan emas yang dibarisi Roque Syahwat Cruz, Carlos Umpat, Dengki-ho dan Emmanuel Amarah (Pemenang Kasut Emas Liga Juara Ramadan musim lalu dengan 30 gol setiap hari)

Penganalisa berpendapat jurulatih pasukan Taqwa United, Sir Iman DHati perlu melakukan rombakan besar-besaran bukan sahaja dari sudut taktik malahan pemain. Pemain-pemain veteran yang longlai seperti Pose Kosong dan Tido Slalu perlu diganti dengan pemain muda berbakat seperti Ikhlas Sedekah atau Tadarus Quran demi memantapkan jentera tengah pasukan Taqwa United. Pemain-pemain veteran kelihatan tidak bermaya dan gagal mengekang kelincahan Gareth Boros dan Stephen IkutNafsu terutama ketika waktu berbuka dan di pusat membeli-belah di separuh masa pertama.




Begitu juga dengan rangkaian serangan pasukan United yang diterajui Tahjud-Din dan Munajat Malam, MM perlu dikerah untuk beraksi di segenap kotak sejadah bagi mengucar-kacirkan kubu pertahan lawan yang dikawal ketat Jolelon Lagho dan Kolo TidoLajak. Tambahan pula, penyerang berkembar itu perlu mengelakkan diri daripada terus diselimuti kedua-dua tembok besar pasukan Nafsu City itu untuk menjaringkan gol-gol yang diperlukan.

Namun penganalisa tempatan begitu optimis bahawa team Taqwa United mampu mengurang defisit tiga gol lawan dalam separuh masa kedua nanti. Dengan ketiadaan ketua jurulatih pasukan City yang digantung, Iblis dan pembantu jurulatih, Satan, pasukan Taqwa United masih berpeluang merangkul kejuaraan kurniaan Ilahi seterusnya meraikan kemenangan di Aidilfitri.

Sewaktu wawancara bersama Sir Iman DHati, anak buahnya bersemangat mengejar bonus dan ganjaran berlipat kali ganda yang dikurniakan pada 10 minit terakhir permainan. Mereka juga berharap tuah Lailatul Qadar menyebelahi mereka untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka tahun lalu. Selain itu, beliau juga berharap agar ibrah Nuzul Quran dapat dijadikan tonik kemenangan dan pembakar semangat buat pasukan muda United mengejar impian mereka bergelar Juara.



Oh ! Kelihatan, penyokong pasukan Nafsu City dan Taqwa United sudah mula memenuhi semula tempat duduk masing-masing. Penyokong kedua-dua pasukan bersorak bersungguh-sungguh demi membangkitkan semangat team kesayangan mereka. Team sorak Nafsu City dengan pakaian yang menjolok mata dan mengurangkan pahala manakala team sorak Taqwa United dengan pakaian seorang Muslim sejati juga telah berkumpul di tepi padang untuk terus menghangatkan bahang perlawanan.

Siapakah yang akan memenangi perlawanan berprestij ini? Layakkah team Taqwa United menerima imbuhan pelepasan api neraka seperti yang dijanjikan Ilahi selepas tamat perlawanan? Atau kemenangan akan bertukar tangan kepada pasukan yang berbelanja besar, Nafsu City musim ini ? Jika kemenangan bertukar tangan maka imbuhan kemenangan yang diperolehi akan dijadikan modal oleh Iblis dan Satan untuk terus berbelanja besar pada musim hadapan mengikat pemain-pemain terbaik dunia seterusnya menutup peluang pasukan lain mengejar impian akhirat.


Sama-sama kita saksikan kesudahan perlawan akhir ini.
Sekian dari saya, Hizbullah Awang untuk anda yang masih termenung di luar sana.
Jazakallah
Wassalam

Artikel ini sumbangan :http://afiqizzudin.wordpress.com/2009/09/06/final-match-of-ramadan-league-second-half-prediction/

Jumaat, 4 September 2009

6 Keburukan Kenyang

Sebelum ni..telah dikongsi bersama 10 manfaat lapar.Kini apa kata kita renung pula apa kah keburukan kenyang terutama bila dah terlalu kenyang...jarang sekali bila dah kenyang kita dapat belajar dengan baik..beribadat dengan khusyuk..dan macam-macam lagilah.

Abu Sulaiman ad-Darani telah berkata bahawa sesiapa yang kenyang maka masuklah pada dirinya 6 macam bahaya :


1. Kehilangan rasa manisnya bermunajat kepada Allah

2. Kehalusan memelihara hikmat ( bertindak gopoh-gapah tanpa bijaksana)

3. Terhalang rasa kasih sayang kepada makhluk lain kerana bila kenyang maka lupa pada orang lapar

4. Berat dan malas untuk berbuat ibadat kepada Allah

5. Bertambah keinginan nafsu

6. Orang mukmin sebenar mengelilingi masjid manakala orang kenyang mengelilingi tandas

So ..macam mana nak atasi keburukan diatas..adalah terlebih baik kita makan sekadar kenyang yang boleh memberi kekuatan..macam mana tuh..??

Ikut pesan nabi Muhammad S.A.W...berhenti  makan sebelum kenyang.

Boleh juga ikut petua ulama terdahulu...bahagian perut dibahagi kepada 1/3 untuk makanan..1/3 lagi untuk minuman ..dan 1/3 lagi untuk udara ..supaya boleh bernafas.

Satu lagi petua daripada tuan guru saya..bila selesai makan..melangkah lah sehingga 40 kali langkah..untuk cepat hadam.

Ok ..jaga makan..apa yang paling penting..makanan mestilah halal lagi berkat.

10 Manfaat Lapar

Adakalanya kita lebih suka mengisi perut yang kosong berbanding mengurangkan kapasiti yang sedia ada didalammya..terutama bila puasa ni..tapi tahu tak apa hikmat dan manfaat daripada lapar nih..dah tau dah..? takpelah kalau dah tahu..sebagai peringatan lah..bagi yang belum ambillah manfaat.

1. Menjernihkan hati, mencerdikkan otak serta menerangi penglihatan hati


2. Melembutkan hati yang membolehkan ia dapat merasai kelazatan pengaruh zikir kerana apabila perut kosong boleh menghilangkan kekerasan hati yang menyebabkan zikir dilidah terus meresap dihati yang lembut tanpa ada halangan lagi

3. Merasa kalah dan hina serta menghilangkan perasaan bongkak, terlalu gembira dan kufur nikmat di mana semua sifat tercela ini menjadi penyebab kepada penyimpangan dan kelalaian daripada mensyukuri nikmat Allah

4. Sentiasa ingat kepada bala Allah di dunia dan siksaanNya di akhirat apabila merasai sendiri bagaimana peritnya lapar

5. Mematahkan keinginan nafsu serta menguasainya daripada melakukan maksiat kerana bahan yang menguat dan menambah keinginan nafsu kebanyakannya berasal daripada makanan

6. Mengurangkan tidur dan memudahkan untuk berjaga terutama dalam berbuat ibadat

7. Memudahkan diri untuk menumpukan perhatian dalam beribadat kerana tidak banyak masa dihabiskan untuk menyelesaikan masalah berkaitan dengan makanan

8. Dapat menjaga kesihatan dan selamat daripada pelbagai penyakit yang terbit daripada banyak makan

9. Jimat dalam perbelanjaan harian apabila tidak banyak wang dihabiskan untuk membeli banyak makanan

10. Membolehkan dia mengutamakan orang lain berbanding diri sendiri melalui sedangkan kerana orang lapar lebih memahami masalah dan penderitaan orang lain

Tawaran Hebat Ramadhan

Offer terbaik dari Tuhan…

Ini bukan jualan tahunan Jaya Jusco


Bukan jua jualan borong dari supermarket Mydin

Ini bukan jualan penghabisan stok dari Noor Arfa batik

Bukan jua jualan gudang dari gedung Kamdar

Ini bukan lelongan pasar malam

Juga bukan lelongan barangan seludup dari pihak kastam

Bukan jua jualan barangan reject dari factory outlet

Bukan jualan “gila- gila jual” di bandar kemaman
Bukan kempen “right choice” dari Celcom


Tidak jua kempen ” Time Gold ” dari Time dot Com

Tapi ini tawaran paling hebat dari semua tawaran

Yang pasti nya tiada peyelewengan dan penipuan

Yang ganjaran Nya sangat hebat dan tiada ternilai

Penghasilan amalan nya adalah taqwa

Itulah puasa dan amalan sepanjang Ramadhan

Amalan sunat di beri ganjaran seperti amalan fardhu

Amalan fardhu di janjikan 70 kali pahala

Di bulan ini lah syurga yang sememang nya indah

Di hias agar ia nya semakin indah

Di bulan ini juga di tutup pintu neraka

Di bulan ini juga ada satu malam yang sangat mulia

Yang di kurniakan hanya untuk umat Muhammad jua

Al Qadar nama nya

Malam melipat ganda pahala


Ibarat beribadat 1000 bulan lama nya

Jom kita…. War2 kan offer ini

Bukan di iklan TV3

Bukan juga di siaran radio Era

Tidak juga di dada akhbar

Tapi sebarkan dengan apa cara

Sekurang-kurang nya dengan keluarga kita

Supaya semua nya dapat menafaat nya

Di akhirat sana

Sumber : http://epondok.wordpress.com/2009/09/02/tawaran-hebat-ramadhan/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Alunan Penyejuk Hati