INSYAALLAH kami Persatuan Pembimbing Insan Kelantan akan mengadakan Seminar Secara Percuma iaitu SEMINAR PECUTAN PEPERIKSAAN 2011 yang akan berlangsung pada 23 julai 2011 di Dewan SK Ayer Merah Machang dan 30 julai 2011 di DEwan Majlis Daerah Pasir Puteh khusus untuk pelajar Muslim yang akan menduduki peperiksaan UPSR/PMR/SPM/STPM.
Berikut adalah maklumat berkenaan dengan seminar ini :
1.0 PENDAHULUAN
Setiap tahun peperiksaan UPSR,PMR,SPM dan STPM menjadi tumpuan para pelajar dan ibu bapa sebagai kayu ukur tahap kecemerlangan individu.Pelbagai usaha dijalankan oleh segenap pihak bagi mencapai matlamat tersebut.Bahkan ada sebilangan ibu bapa terpaksa menanggung kos yang tinggi semata-mata ingin melihat anak-anak mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam setiap subjek yang diambil.Malah ada sebilangan pelajar yang disaat- saat akhir baru terasa bahang peperiksaan yang bakal dihadapi menyebabkan diri tertekan serta hilang fokus terhadap ulangkaji pembelajaran mereka.
Justeru itu,kami pihak Persatuan Pembimbing Insan Kelantan ingin turut sama membantu para pelajar khusus untuk pelajar muslim agar tidak tersasar daripada matlamat sebenar peperiksaan itu diadakan .Program ini adalah berbentuk seminar sehari secara percuma iaitu Seminar Pecutan Peperiksaan yang akan menekankan beberapa formula berkaitan peperiksaan serta persediaan rohani dalam menyeimbangkan antara kecemerlangan peperiksaan dan kecemerlangan sahsiah.Oleh itu, marilah kita berganding bahu untuk bersama-sama berfikir , merancang dan bertindak untuk kita sama-sama membina kembali remaja Islam yang cintakan kecemerlangan serta pada masa yang sama mendapat keberkatan hidup mereka di dunia dan akhirat.
Sesungguhnya, tiada upaya dan tiada kekuatan melainkan dengan ALLAH dan tiada tempat melarikan diri dari ALLAH melainkan kepadaNya.Cukuplah bagi kami ALLAH dan Dia lah sebaik-baik tempat penyerahan.
2.0 OBJEKTIF PROGRAM
1. Membangunkan cetusan Rasa Bertuhan dihati para pelajar.Rasa Bertuhan tersebut yang akan membina hala tuju kecemerlangan kehidupan di dunia dan akhirat .
2. Membina rasa bertuah dan bersyukur di dalam diri remaja kerana dianugerahkan ALLAH SWT nikmat sebagai orang Islam.
3. Mengisi jiwa remaja dengan pengisian kerohanian, intelektual dan emosi yang mantap agar tegar dan selamat menghadapi cabaran peperiksaan yang akan dihadapi.
3.0 TEMA
“ Pelajar Cemerlang,Pelajar Beriman”
4.0 SASARAN
200 hingga 300 orang pelajar muslim yang akan menduduki peperiksaan UPSR,PMR,SPM dan STPM 2011.
5.0 TARIKH & MASA
23 Julai 2011 / 30 Julai 2011
8.30 pagi hingga 1.00 petang
6.0 TEMPAT
Dewan SK Ayer Merah Machang Kelantan
Dewan Majlis Daerah Pasir Puteh
7.0 KEISTIMEWAAN PROGRAM
Dikendalikan oleh pasukan fasilitator dan motivator berpengalaman Persatuan Pembimbing Insan Kelantan atau dikenali juga sebagai Team Bina Insan dalam membentuk jiwa pelajar dengan menggabungkan antara elemen kerohanian , motivasi dan psikologi. Bahan-bahan pengisian disediakan dalam bentuk modul serta berbantukan peralatan audio visual serta lagu-lagu nasyid yang memberikan inspirasi dan pembentukan jiwa pelajar Islam yang cintakan kecemerlangan.
7.1 PENGISIAN UTAMA
· Slot 1 : Tips Menangani Stress Peperiksaan
- Bagi mempersiapkan diri remaja untuk bersedia menghadapi tekanan peperiksaan dan memahami peperiksaan bukanlah suatu perkara yang muktamad.Di samping teknik khas meredakan tekanan agar para pelajar sentiasa bertenang dalam menghadapi apa jua situasi dan cabaran.
· Slot 2 : Tips Ulangkaji Pantas Secara Efektif
- Memberi satu tasawur yang jelas kepada para pelajar agar dapat membuat persediaan ulangkaji dan nota yang berkesan menjelang peperiksaan tanpa perlu merujuk sepenuhnya kepada maklumat ataupun buku-buku teks yang tebal disaat-saat hampir kepada peperiksaan bahkan sebaliknya dapat menyerap maklumat dengan lebih pantas dan berkesan.
· Slot 3 : Tips Rahsia Kejayaan Berganda
- Menyedarkan para pelajar berkenaan ucapan,perbuatan dan tingkahlaku yang boleh menjerumuskan kepada kegagalan hidup.Justeru potensi akal dan potensi hati dicungkil untuk kejayaan dan kecemerlangan peperiksaan .Formula adunan daripada Al-Quran dan sunnah Nabi S.A.W yang akan dikupas secara lebih mendalam bukan sahaja untuk kejayaan hidup dunia malah yang lebih penting kejayaan akhirat.
· Slot 4 :Munajat Peperiksaan & Doa Penutup
- Bonus untuk para pelajar yang mahu dirinya dibentuk dengan lebih mantap dan berkesan iaitu bermunajat serta berzikir yang membantu menguatkan keyakinan diri serta menambahkan kefahaman ilmu .Berdoa secara beramai-ramai bagi membangkitkan rasa ke dalam diri bahawa mesti ikhtiar sebaik mungkin dan seterusnya dipasrahkan kepada Allah S.W.T.
8.0 PENGENDALI MODUL
Persatuan Pembimbing Insan Kelantan atau dikenali juga sebagai Team Bina Insan Kelantan bernombor pendaftaran 0612-10-KEL. Merupakan badan pertubuhan bukan kerajaan, bergiat aktif menjalankan program motivasi,kerohanian dan kepimpinan serta menggabungkan elemen dakwah, motivasi, psikologi & kaunseling dengan izin Allah S.W.T dapat menyentuh serta menggerakkan nurani insan berpandukan ‘Tarbiyah Nabawiyyah’ berasaskan pendekatan kontemporari.
9.0 TENTATIF
8.30 pg : Pendaftaran Peserta
9.00 pg : Slot 1 – Tips Menangani Stress Peperiksaan
10.00 pg : Minum Pagi
10.30 pg : Slot 2 – Tips Ulangkaji Pantas Secara Efektif
12.00 tgh : Slot 3 – Tips Rahsia Kejayaan Berganda
1.00 ptg : Slot 4 – Munajat Peperiksaan & Doa Penutup
1.30 ptg : Bersurai
10.0 PENUTUP
Harapan kami adalah agar seminar ini dapat menjadi titik perubahan para pelajar muslim ke arah mengenali serta mendalami bahawa Islam sangat mementingkan kecemerlangan.Oleh itu mengamalkannya secara keseluruhan sebagai wadah cara hidup yang berlandaskan Al-Qur’an dan As-Sunnah menjamin kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.
Disediakan oleh :
Persatuan Pembimbing Insan Kelantan
(Team Bina Insan)
http://salammotivasi.blogspot.com